Friday, May 20, 2016

HARI TERAKHIR DI KUALA PILAH



Minggu 14
Hari Terakhir Di Kuala Pilah

            Dua hari telah berlalu dan pada hari Ahad, 15 April 2016 adalah hari terakhir program Siswa@Kampung kami di Kampung Terachi, Kuala Pilah. Bagi keluarga angkat, ia merupakan satu pertemuan yang amat singkat dan tidak sempat untuk berkenalan dengan lebih rapat. Oleh sebab itu, mereka mengharapkan kehadiran kami pada masa yang akan datang agar ikatan yang terjalin tidak akan putus begitu sahaja.
            Aktiviti yang diadakan pada hari terakhir program ialah bergotong royong bersama penduduk kampung di 3 buah kampung yang berdekatan iaitu Kampund Padang Lebar, Kampung Terachi dan Kampung Godang. Pelajar dibahagikan mengikut kampung keluarga angkat masing-masing dan seramai 25 orang pelajar USIM dan beberapa orang pelajar UPM ke Kampung Orang Asli bagi menyiapkan lukisan mereka yang telah dilukis.
            Tiga anak pokok ditanam di setiap kampung sebagai tanda kenang-kenangan dan penghargaan kepada penduduk kampung. Anak pokok ditanam semasa mereka bersama-sama berganding bahu membersihkan kawasan kampung masing-masing.
            Bagi mural pula, walaupun cuaca yang agak panas, ia tidak meghalang para pelajar untuk menyiapkannya. Semua pelajar berkerjasama dalam mengecat mural yang telah dilukis supaya kelihatan lebih cantik dan dijadikan kenangan kepada penduduk kampung orang asli disitu.
 MURAL HASIL DARIPADA PELAJAR UPM & USIM
            Setelah selesai gotong-royong dan melukis mural, pelajar pulang ke rumah keluarga angkat untuk bersihkan diri dan mengemas barang untuk dibawa pulang ke kolej. Pelajar makan tengah hari di rumah keluarga angkat masing-masing dan pelbagai hidangan menarik disediakan oleh ibu bapa angkat memandangkan ia merupakan masakan terakhir yang boleh kami menikmatinya.
            Sebelum pulang ke UPM, ceramah pengasingan sampah diberikan di Balai Raya Kampung Padang Lebar kepada penduduk kampung dan para pelajar supaya dapat mengamalkannya dengan betul. Hadiah berupakan tshirt diberikan kepada mereka yang berjaya menjawab soalan yang diajukan.
            Majlis penutupan dan perpisahan diadakan sejurus selepas ceramah pengasingan tamat. Ucapan diberikan kepada semua oleh pengarah program Siswa@Kampung, wakil pelajar USIM, pemantau dari pusat kokurikulum dan ketua kampung Padang Lebar. Saguhati diberikan kepada semua keluarga angkat sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kerana telah melayani kami dengan baik sepanjang keberadaan kami disana.
            Program seperti ini memang perlu diadakan bagi mengeratkan komuniti penduduk kampung dengan mahasiswa mahasiswi universiti. Ia dapat menjalinkan hubungan kekeluargaan dan dapat membentuk masyarakat yang harmoni. Pengalaman yang didapati sepanjang program diadakan boleh dijadikan sebagai kenangan yang amat berharga.

HARI KEDUA DI KUALA PILAH




Minggu 13
Hari Kedua Di Kuala Pilah

            Pada hari kedua di Kampung Terachi, Kuala Pilah, aktiviti dimulakan dengan berjalan 10000 anjuran COSPAMM. Program 10 000 langkah ini dimulakan dengan senaman pagi yang diketua oleh pelajar sendiri. Terdapat beberapa orang kampung mengikuti kami bersenam pada pagi itu.
            Selepas senaman, kami meneruskan aktiviti dengan berjalan kaki bersama-sama mengelilingi kampung yang dikelilingi dengan sawah padi. Suasana kampung pada waktu itu sangat indah dimana dipenuhi dengan hijau sawah padi dan juga bukit yang dipenuhi dengan kabus pagi. Walaupun cuaca yang agak panas tetapi ia tidak menghalang kami untuk meneruskan aktivti kami malah ia membuat kami makin bersemangat dan ingin pusing satu kampung kerana pemandangan seperti itu sukar didapti lebih-lebih lagi di kawasan bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar.
SAWAH PADI DI KG PADANG LEBAR
           Selepas penat berjalan, kami pulang ke balai raya Kampung Padang Lebar untuk berehat seketika sebelum meneruskan aktiviti yang seterusnya iaitu menyambut para pelajar dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Sekitar jam 10.30 pagi mereka sampai di balai raya dan majlis penyerahan anak angkat dari pelajar USIM diadakan dan dirasmikan oleh tok ketua Kampung Padang Lebar. Tok ketua menceritakan sedikit sebanyak tentang program yang telah diadakan selama kami kepada pelaja USIM dan juga memberitahu mereka tentang aktivit yang bakal diadakan sepanjang program semasa ucapan yang diberikan oleh beliau.
            Selepas itu, kami semua pulang ke rumah keluarga angkat untuk membersihkan diri dan makan tengah hari. Kami sempat bersembang dan berbual bersama keluarga angkat. Pelbagai cerita yang dikongsikan seperti pengalaman mereka yang telah biasa dengan program anak angkat dan kampung mereka sering menjadi perhatian warga luar tidak kira mahasiswa atau sesiapa sahaja.
            Sebelah petang, kami meneruskan aktiviti dengan membahagikan pelajar kepada 2 kumpulan dimana beberapa orang pelajar akan ke kampung orang Asli di Ulu Mampas yang tidak jauh dari kawasan kami bagi melakar lukisan untuk mural dan selebihnya meneruskan aktiviti di balai raya bagi merapatkan lagi hubungan antara pelajar UPM dan USIM. Pelbagai permainan yang menarik diadakan pada petang itu dan bagi yang melukis mural, mereka terpaksa berhadapan dengan cuaca yang agak panas bagi menyiapkannya.
            Selepas solat Asar, semua pelajar berkumpul dan pelajar lelaki turun ke sawah untuk meneruskan permainan bola sepak sawah manakala bagi pelajar perempuan mereka disediakan pancing untuk memancing ikan di kolam kecil yang terdapat di hadapan sawah itu. Comel sahaja gelagat pelajar lelaki yang bermain bola sepak sawah dalam petak sawah yang lecak itu. Pelbagai aksi dan bakat yang ditunjukkan oleh mereka dan pelajar perempuan juga tidak kurang hebatnya dalam memancing ikan. Pengalaman seperti ini sukar dicari dan didapati pada masa sekarang dan jika kita lihat budak-budak kecik pun tidak lagi suka bermain di luar bersama rakan-rakan dan jiran tetangga malah mereka lebih suka untuk menghabiskan masa lapang mereka dihadapan televisyen dan gajet canggih mereka.
BOLA SEPAK SAWAH DAN MEMANCING IKAN
            Penat yang kami dapat tidak membuatkan kami serik untuk mecubanya lagi jika diberi peluang. Setelah penat bermain bola sepak dalam petak sawah dan memancing ikan, wartawan dari akhbar Malaysia mengambil gambar kami untuk diletakkan dalam artikel akhbarnya untuk dijadikan santapan umum.
            Bagi pelajar lelaki, mereka pulang dengan baju yang kotor kerana “mandi” di dalam petak sawah dalam aksi mengejar bola. Walaupun kelihatan kotor tetapi bagi mereka ia adalah satu aktiviti yang sukar didapati dan tidak semua dapat merasainya lebih lagi generasi sekarang yang lebih menggemari gajet mereka daripada bermain di luar rumah.
            Sebelah malam pula, kami diberi perkongsian tentang adat Perpatih. Pelajar dan penduduk kampung diberi penerangan tentang adat Perpatih yang diamalkan di kampung itu sendiri dengan lebih mendalam agar tidak berlaku salah paham tentang adat tersebut.

Thursday, May 19, 2016

HARI PERTAMA DI KUALA PILAH




Minggu 12
Hari Pertama Di Kuala Pilah

            Pada hari pertama program Siswa@Kampung di Kampung Terachi, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, kami sebagai anak angkat telah disajikan dengan pelbagai juadah yang sangat terkenal di kampung mereka seperti masak lemak cili api. Kami diberi masa rehat pada waktu tengah hari untuk beramah mesra dengan keluarga angkat masing-masing selepas selesai majlis perasmian dan penyerahan anak angkat yang dirasmikan oleh ADUN Kuala Pilah dan turut dihadiri oleh pegawai KPNKK dan 3 orang ketua kampung yang terlibat.
BALAI RAYA KG PADANG LEBAR

            Program Bakti Siswa, Siswa@Kampung di Kuala Pilah ini merupakan satu program anak angkat dan disertai seramai 61 orang pelajar yang mengambil kursus kokurikulum berkredit Bakti Siswa dan juga melibatkan 25 orang pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).  Pelajar dari USIM menyertai pada hari kedua program. Program ini melibatkan 3 buah kampung di Terachi iaitu Kampung Padang Lebar yang dijadikan tempat untuk semua pelajar dan keluarga angkat berkumpul, Kampung Godang dan Kampung Terachi.
PELAJAR YANG TINGGAL DI KAMPUNG TERACHI

            Pada sebelah petang hari pertama, sebahagian daripada pelajar membantu penduduk kampung bergotong-royong memasak di Masjid Kampung Terachi untuk majlis pada malamnya. Pelbagai lauk tradisi orang kampung dimasak untuk dijadikan santapan pada malam itu selepas ceramah Israk Mikraj.
            Pada sebelah malam pula, para pelajar dan keluarga angkat serta penduduk kampung solat Maghrib berjemaah dan mendengar ceramah Israk Mikraj di masjid. Pelbagai perkongsian telah diberi oleh penceramah yang dijemput. Selepas solat Isyak berjemaah, semua dijemput untuk menikmati hidangan yang dimasak pada petangnya.
            Para pelajar membantu penduduk kampung membersihkan pinggan mangkuk dan segala peralatan yang telah digunakan ke tempat asalnya sebelum dibenarkan pulang ke rumah keluarga angkat masing-masing. Hal ini dapat mengeratkan para pelajar dan penduduk kampung dan matlamat untuk mendekatkan para siswa dan siswi dengan komuniti dapat dicapai.
            Setelah selesai mengemas segalanya, pelajar dibenarkan pulang ke rumah keluarga angkat masing-masing untuk beramah mesra dengan keluarga angkat dan berehat sebelum meneruskan aktiviti pada esok harinya.

"MEETING" KUMPULAN BAKSIS




Minggu 11
Perjumpaan Bakti Siswa Kumpulan 1 dan Kumpulan 49

            Projek mega kursus kokurikulum berkredit Bakti Siwa iaitu Siswa@Kampung gabungan kelas Bakti Siswa kumpulan 1 dan kumpulan 49 diadakan di Kampung Terachi, Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada 13-15 Mei 2016. Pada hari Sabtu seperti biasa kelas diadakan dan bergabung dengan kumpulan 49 bagi menerangkan tentang projek mega yang akan diadakan.
            Pada hari tersebut, semua pelajar terlibat diberi penerangan dengan lebih lanjut tentang program yang akan diadakan sempena projek mega Siswa@Kampung di Kuala Pilah. Kami juga membincangkan tentang tentative program yang bakal diadakan dan dijayakan.
            Selain itu, pengarah program Siswa@Kampung Kuala Pilah yang dikenali sebagai Baim menerangkan tentang kos perbelanjaan yang diperlukan untuk menjayakan program ini. Kumpulan kami sangat beruntung kerana telah mendapat penajaan dari KPDNKK.
            Fasilitator kumpulan 1, Encik Firdaus Bin Abdullah meminta wakil setiap AJK untuk berkongsi kerja yang telah mereka lakukan bagi memastikan program dapat dijalankan dengan lancer dan tidak akan berlaku masalah yang tidak diingini.
            Kami juga membincangkan tentang agensi-agensi luar yang perlu dijemput untuk memeriahkan lagi program kami disana seperti pihak Bomba yang juga merupakan hasrat penduduk kampung agar kami menjemput mereka ke kampung bagi meriahkan suasana.
TAG PELAJAR SISWA@KAMPUNG
            Kami juga bersama-sama memberi idea untuk malam kebudayaan dimana ia merupakan salah satu permintaan penduduk kampung terhadap kami untuk menghiburkan mereka. Pelbagai idea diberikan antaranya adalah tarian, lakonan dan nyanyian.
           Kerjasama antara kedua-dua kumpulan Bakti Siswa sangat penting bagi menjayakan program yang melibatkan penduduk kampung di Kuala Pilah. Walaupun kedua-dua kumpulan saling tidak mengenali antara satu sama lain tetapi ia tidak menghalang kami untuk bersama-sama menjayakan program yang bakal diadakan kerana ia melibatkan nama Universiti Putra Malaysia (UPM) dan kami perlu menjaganya sebaik mungkin agar tidak dipandang rendah oleh masyarakat.

RUN FOR LIFE 5.0 KOLEJ KEDUA


Minggu 10
RFL5.0 KOLEJ KEDUA 2016 

PERTANDINGAN MURAH RFL5.0

            Tanpa disedari, semester kedua sesi 2015/2016 sudahpun sampai minggu ke 10. Pelbagai aktiviti menarik dan pengalaman yang sukar dicari telah diadakan dan diperolehi disini. Kolej Kedua merupakan salah satu kolej yang sangat terkenal dengan pelbagai aktiviti dan program kolej yang pelbagai dan menarik. Antaranya adalah larian amal Run For Life (RFL5.0). Ia merupakan satu aktiviti kolej yang sering diadakan saban tahun dan merupakan program yang wajib disertai oleh semua kolejgiat Kolej Kedua.
            RFL5.0 diadakan pada 23 sehingga 24 April 2016 di sekitar kawasan Kolej Kedua. Terdapat gerai jualan yang dibuka kepada semua pelajar Universiti Putra Malaysia dan juga mereka dari luar universiti. Pertandingan mural juga diadakan bagi mengumpul kutipan derma untuk disumbangkan kepada rumah Bakti Nur Syaheera. RFL pada tahun ini tidak semeriah seperti sebelumnya yang dipenuhi dengan pelbagai jualan.
            Larian amal diadakan pada pagi 24 April di mana ia melibatkan semua pelajar Universiti Putra Malaysia dan masyarakat luar yang telah mendaftarkan diri mereka untuk menyertai larian tersebut. Pelbagai gelagat peserta yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama yang dapat dilihat pada hari tersebut. Terdapat seorang kanak-kanak yang menyertai larian ini dan juga warga tua yang masih aktif dalam larian.
Larian ini juga mendapat liputan daripada wartawan dari TV3 untuk dijadikan santapan di Malaysia Hari Ini pada keesokan harinya. Mereka menemubual para peserta yang telah berjaya mendapat tempat dalam larian amal ini.
Program amal seperti Run For Life ini perlu diadakan bagi memupuk kesepaduan sosial antara pelbagai kaum di Malaysia. Ia juga dapat membantu dan memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan. Pelbagai aktiviti perlu diadakan bagi menarik minat para peserta dan menggalakkan penyertaan daripada masyarakat pelbagai kaum.