Thursday, May 19, 2016

HARI PERTAMA DI KUALA PILAH




Minggu 12
Hari Pertama Di Kuala Pilah

            Pada hari pertama program Siswa@Kampung di Kampung Terachi, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, kami sebagai anak angkat telah disajikan dengan pelbagai juadah yang sangat terkenal di kampung mereka seperti masak lemak cili api. Kami diberi masa rehat pada waktu tengah hari untuk beramah mesra dengan keluarga angkat masing-masing selepas selesai majlis perasmian dan penyerahan anak angkat yang dirasmikan oleh ADUN Kuala Pilah dan turut dihadiri oleh pegawai KPNKK dan 3 orang ketua kampung yang terlibat.
BALAI RAYA KG PADANG LEBAR

            Program Bakti Siswa, Siswa@Kampung di Kuala Pilah ini merupakan satu program anak angkat dan disertai seramai 61 orang pelajar yang mengambil kursus kokurikulum berkredit Bakti Siswa dan juga melibatkan 25 orang pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).  Pelajar dari USIM menyertai pada hari kedua program. Program ini melibatkan 3 buah kampung di Terachi iaitu Kampung Padang Lebar yang dijadikan tempat untuk semua pelajar dan keluarga angkat berkumpul, Kampung Godang dan Kampung Terachi.
PELAJAR YANG TINGGAL DI KAMPUNG TERACHI

            Pada sebelah petang hari pertama, sebahagian daripada pelajar membantu penduduk kampung bergotong-royong memasak di Masjid Kampung Terachi untuk majlis pada malamnya. Pelbagai lauk tradisi orang kampung dimasak untuk dijadikan santapan pada malam itu selepas ceramah Israk Mikraj.
            Pada sebelah malam pula, para pelajar dan keluarga angkat serta penduduk kampung solat Maghrib berjemaah dan mendengar ceramah Israk Mikraj di masjid. Pelbagai perkongsian telah diberi oleh penceramah yang dijemput. Selepas solat Isyak berjemaah, semua dijemput untuk menikmati hidangan yang dimasak pada petangnya.
            Para pelajar membantu penduduk kampung membersihkan pinggan mangkuk dan segala peralatan yang telah digunakan ke tempat asalnya sebelum dibenarkan pulang ke rumah keluarga angkat masing-masing. Hal ini dapat mengeratkan para pelajar dan penduduk kampung dan matlamat untuk mendekatkan para siswa dan siswi dengan komuniti dapat dicapai.
            Setelah selesai mengemas segalanya, pelajar dibenarkan pulang ke rumah keluarga angkat masing-masing untuk beramah mesra dengan keluarga angkat dan berehat sebelum meneruskan aktiviti pada esok harinya.

No comments:

Post a Comment